Tuesday 13 March 2012

Pekan Tamparuli telah dikenali sebagai sebuah pekan yang penuh dengan nilai-nilai budaya dengan masyarakat yang pelbagai kaum. Pekan Tamparuli terletak di tengah-tengah Daerah tuaran, 36KM dari bandar utama Kota Kinabalu.

Menurut sejarah, Tamparuli dikatakan mendapat namanya daripada ayat ‘ditampar oleh air’ di mana ayat ini berasal daripada perkataan atau percakapan orang Brunei. Pada suatu  masa dahulu, apabila pedagang-pedagang Brunei berkunjung ke Daerah Tamparuli, mereka tidak dapat naik ke hulu disebabkan arus air sungai yang terlalu deras. Maka timbullah ayat ‘ditampar oleh air’ dan ia telah disingkatkan kepada Tamparuli.


Pekan Tamparuli terkenal dengan daya tarikannya iaitu mempunyai jambatan gantung terpanjang, dengan terciptanya lagu 'Jambatan Tamparuli', yang kini menjadi lagu kegemaran bagi kaum Kadazan Dusun. Kewujudan  jambatan gantung Tamparuli telah menjadikan pekan Tamparuli  lebih dikenali oleh masyarakat luar dan pelancong asing. Menurut mitos di kalangan penduduk setempat, kononnya suatu  ketika dahulu terdapat seorang perempuan yang cantik dan pandai menyanyi telah diculik dan dimasukkan ke dalam sebuah tempayan atau lebih dikenali sebagai  “tajau” oleh masyarakat tempatan. Tajau tersebut telah diletakkan di tiang pertama Jambatan Tamparuli agar binaan jambatan Tamparuli kukuh. Mitos ini dikukuhkan lagi apabila jambatan ini tidak pernah runtuh walaupun ribut taufan melanda daerah ini. Malah ia semakin indah dan masih tegak berdiri walaupun usianya sudah mencecah puluhan tahun.

No comments:

Post a Comment